Khamis, 1 Januari 2015

Telaga Kautsar Rasulullah SAW

Telaga Rasulullah SAW terletak di Padang Mahsyar. 

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Ketika aku sedang berjalan di Syurga, tiba-tiba aku melihat sebuah sungai yang tepinya seperti kubah-kubah permata yang melengkung. Aku bertanya: 'Wahai Jibril! Apa ini?' Ia menjawab: 'Ini ialah Kautsar yang Allah anugerahkan kepadamu.' Ternyata tanahnya adalah kasturi Azfar" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini memang menunjukkan bahawa telaga Kautsar berada di dalam Syurga, namun airnya mengalir hingga ke Padang Mahsyar lalu terkumpul di Telaga Rasulullah SAW yang akan didatangi oleh umat Baginda. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: 

"Telagaku seluas pejalanan satu bulan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih wangi daripada kasturi, cawan-cawannya sebanyak bintang di langit. Barang siapa yang minum daripadanya tidak akan berasa haus lagi selama-lamanya." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Manusia yang berhimpun di Padang Mahsyar ribuan tahun terlalu dahaga maka sesiapa yang layak dapat meminum air di Telaga Rasulullah SAW tidak akan haus selama-laamnya. Setiap orang yang pernah menjadi umat Rasulullah SAW di dunia, sama ada yang beriman ketika Baginda masih hidup ataupun generasi yang datang setelahnya, akan mendatangi telaga Baginda untuk meminum airnya. Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Zaid bin Arqam katanya, "Suatu hari kami bersama Nabi SAW di suatu tempat. Baginda lalu bersabda, maksudnya:

"Tidaklah kalian ini satu bahagian daripada seratus ribu bahagian daripada orang yang akan mendatangi telagaku."

Seseorang bertanya kepada Zaid, 'Berapakah bilangan kalian pada waktu itu?' Zaid menjawab, 'Tujuh ratus atau lapan ratus orang.'"[Abu Dawud: Kitab al-Sunah, no. 4746.] 

Telaga Rasulullah SAW adalah perwujudan syariat yang dibawa oleh Baginda di dunia ini. Sesiapa yang paling awal menerimanya dengan baik, maka dia akan menjadi orang yang pertama yang meminum airnya. At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Orang pertama yang mendatangi telaga adalah orang fakir daripada golongan Muhajirin yang kusut rambutnya dan kotor pakaiannya."[Hadis Riwayat at-Tirmizi, Sifat al-Qiyamah no. 2444. Beliau berkata: "Hadis gharib daripada jalan ini.] 

Hal ini kerana orang fakir daripada golongan Muhajirin di Makkah adalah orang yang pertama kali menerima dakwah Rasulullah SAW sebelum manusia lainnya.Imam Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW, maksudnya: 

"Aku akan berada di telagaku untuk menghalau manusia bagi ahli Yaman. Aku akan memukul dengan tongkatku untuk membuka jalan bagi mereka."

Imam an-Nawawi mentafsirkan bahawa ahli Yaman yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah golongan Ansar. Beliau berkata, "Golongan Ansar berasal dari Yaman, maka Nabi menghalau manusia pada hari itu daripada mereka sebagaimana di dunia mereka menghalau segala ancaman dan kesusahan daripada diri Nabi SAW." 

Sementara itu, tokoh-tokoh yang berjasa besar dalam membantu perjuangan dakwah Rasulullah SAW, maka mereka bukan sahaja menjadi orang terawal di telaga Baginda, akan tetapi mereka akan membantu Baginda dalam memberikan air minuman kepada umatnya. Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibnu Umar Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar as-Siddiq:

"Engkau sahabatku di telaga dan sahabatku di gua."[Hadis Riwayat at-Tirmizi, kitab al-Manaqib no. 3670. Beliau berkata, "Hadis hasan sahih gharib."]

Seterusnya, sedikit atau banyaknya seseorang meminum dari air telaga pada hari itu disesuaikan dengan kadar pengetahuannya tentang ajaran syariat dan sunnah Rasulullah SAW di dunia. Umat Islam yang mengikut sunah baginda dan mengamalkan ajaran Islam , berjihad dan berdakwah menegakkan ajaran Islam sehingga ke hari kiamat akan berpeluang meminum ait di Telaga Rasulullah SAW.

Mereka yang Dihalau...

Orang yang menolak ajaran Rasulullah SAW di dunia atau meninggalkannya (murtad) setelah mendapat hidayah, maka ia akan dihalau dari telaga Rasulullah SAW, meskipun mereka mengaku sebagai umat Baginda pada hari itu.Daripada Asma binti Abu Bakar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

"Akan datang pada hari Kiamat nanti sekumpulan daripada sahabatku, tiba-tiba mereka dihalau dari telaga. Aku berkata: 'Ya Tuhan, (mereka) sahabatku.' Maka dijawab: 'Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan setelahmu. Mereka telah kembali kepada (kekafiran)." (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah sebahagian kecil daripada orang yang pernah berjumpa dengan Nabi SAW lalu murtad setelah Baginda wafat. Mereka itulah yang diperangi oleh Abu Bakar al-Siddiq bersama para sahabat Nabi SAW segera setelah beliau menjadi khalifah.

Namun begitu, pengertian hadis ini tidak tertutup untuk umat Nabi SAW yang lain hingga akhir zaman.  Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menukilkan ucapan al-Hafiz Ibn Abdil Bar, 

"Setiap orang yang menciptakan ajaran bidaah dalam Islam akan dihalau dari telaga seperti puak Khawarij, Muktazilah, Rafidah (Syiah) dan semua penyebar ajaran sesat (ahl al-ahwa)." 

Ibn Abdil Bar melanjutkan, "Begitu juga orang zalim yang berlebihan dalam ketidakadilan, suka menyembunyikan kebenaran dan terang-terangan melakukan dosa-dosa besar. Mereka ini dikhuatiri termasuk dalam pengertian hadis di atas."

Ucapan ini disokong oleh beberapa hadis, antara lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad serta disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Khabbab bin al-Arat bahawa Nabi SAW bersabda, "Dengarkanlah, akan datang kepada kalian para pemimpin (umara), maka janganlah kamu bantu mereka dalam kezaliman dan janganlah kamu benarkan pendustaan mereka. Sesiapa yang membantu mereka dalam kezaliman dan membenarkan pendustaan mereka, maka ia tidak akan mendatangi telagaku."