Rabu, 25 Februari 2015

AMANAH BESAR TUGAS PEGUAM @ HAKIM - SYURGA ATAU NERAKA


Di antara keistimewaan syariat Islam ialah mengambil berat pada menegakkan keadilan dan memberi kepada setiap orang akan haknya dengan tidak melampaui atau mengurangi batasan. Allah telah menyuruh kita supaya berlaku adil dan membuat kebaikan. Atas sebab keadilanlah maka diutuskan para Rasul dan diturunkan kitab-kitab Allah, begitulah tegaknya hukum Allah di dunia dan akhirat. 


Islam mewajibkan semua penganutnya supaya membela dirinya atau keluarganya atau maruahnya apabila menempuh kezaliman atau ancaman. Dari itu jika seseorang itu telah dituduh di dalam sesuatu kes sedang ia percaya dirinya tidak bersalah, hendaklah ia membela dirinya, membela dirinya kerana ianya adalah dijalan yang benar (berani kerana benar, takut kerana salah). Kalaulah keadaan tidak membolehkan ia membela dirinya secara peribadi sehingga ia terdesak untuk mendapatkan bantuan guaman, bolehlah ia menempah seorang peguam (tidak ada bukti bahawa seseorang itu tidak boleh menggunakan peguam sebagai penyelesaian buat dirinya yang benar).

Hukum syarak mengenai penempahan peguam demi membela diri atau sebagainya dengan secara hak dan menegakkan keadilan adalah harus. Tugas sebenar seorang peguam ialah membela hak-hak orang ramai dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang. Ini adalah satu pekerjaan yang mulia dan terhormat di sisi agama Islam. Kerana menegakkan kebenaran dan menolak sebarang bencana dan kezaliman adalah satu daripada prinsip Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa, ayat 135:-

 يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوْ الْوَالِدَيْنِ والأَقْرَبِين 

Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu tegakkan keadilan serta menjadi saksi atas kebenaran kerana Allah, meskipun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan karib kerabatmu. " (Surah an-Nisaa ayat 135).

Jika si peguam itu berbuat sebaliknya dengan membela yang salah dan batil (plaintif/defenden), ini adalah satu perbuatan yang terkeji di sisi Islam dan berdosa besar.

Dari segi membela orang yang salah sebagai contoh. Masyarakat akan berfikir apalah gunanya peguam ni yang membela orang yg bersalah, tidakkah itu dituduh bersubahat (memang akan bersuara juga jika perkara ini ditanya). Di sini perlu diingatkan dalam undang-undang, "no one is guilty untill he is proven guilty" dan kedua-dua pihak berhak bersuara.

Dan lagi satu, tugas peguam bela akan melakukan check n balance. Dialah yang akan memastikan secara tidak langsung dakwaan itu benar atau pun boleh menimbulkan keraguan terhadap tuduhan yang dikenakan berdasarkan bukti yang diberikan oleh anak guamannya.

Rasulullah SAW pernah menerangkan kedudukannya dengan sabdanya yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda "Barangsiapa menggunakan rayuannya untuk menghalang dari dilaksanakan hukum Allah, sesungguhnya ia telah menentang Allah. Dan barangsiapa yang mendakwa hak pada yang batil sedang ia tahu ia tidak berhak sesungguhnya ia dalam kemurkaan Allah sehingga ia kembali kepada yang benar. Dan barangsiapa memburuk-burukkan terhadap seorang mukmin sedang orang yang diburukkan itu tidak bersifat demikian, maka Allah akan menempatkannya di dalam neraka sehingga ia menghentikan apa yang dikatakan itu. Dan barangsiapa yang memihak dalam sesuatu pertelingkahan secara zalim, sesungguhnya ia mendapat kemurkaan dari Allah SWT."

Apabila seorang peguam di tugaskan mendakwa seseorang yang tidak bersalah dan memberikan bukti-bukti dan para saksi yang meragukan maka dia akan menanggung dosa besar jika hakim menjatuhkan hukuman kerana terpengaruh dengan dakwaannya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)  Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk selalu menegakkan kebenaran dan berlaku adil.

Jika para peguam atau pendakwa raya melakukan kezaliman kepada orang yang di tuduh kerana kepetahannya berhujah dan mempengaruhi para hakim untuk membuktikan si tuduh bersalah walaupun hakikat sebenarnya dia tak bersalah maka mereka termasuk orang yang membuat fitnah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah engkau patuhi setiap orang yang suka bersumpah dan suka menghina, suka mencela, yang kian kemari menyebarkan fitnah." (Surah al-Qalam ayat 10-11)

Ayat ini menjelaskan dua jenis dosa yang disebabkan oleh lisan iaitu sumpah palsu dan fitnah. Imam Ibnu Katsir yang mentafsirkan kata fitnah pada ayat di atas dengan perbuatan melaga-lagakan orang atau adu domba. (Termasuk juga orang yang bersumpah palsu menuduh seseorang yang baik meliwat atau berzina)

Sumpah palsu dan adu domba membawa akibat negatif amat besar sehingga perlu secara khusus disebutkan dalam Al-Quran.

Sumpah palsu menyebabkan kebenaran tertutup. Dalam hal yang berkaitan dengan pengadilan, sumpah palsu mengakibatkan terjejas keadilan bagi seseorang, demikian pula kemerdekaannya. Terutama apabila sumpah palsu itu di nyatakan dihadapan  hakim semata-mata untuk mengaibkan dan mendatangkan kemudaratan kepada orang yang dituduh.

Jika seseorang berbohong di hadapan hakim mengatakan dia di liwat sedangkan dia tidak diliwat maka pembohongan ini dipanggil fitnah (membuat  cerita palsu). Orang yang membuat fitnah tidak akan masuk syurga.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam Islam sekiranya seseorang ingin membuat tuduhan seseorang wanita baik berzina perlulah membawa 4 orang saksi lelaki  yang adil. Termasuk juga membuat tuduhan meliwat atau berzina kepada lelaki Islam yang baik perlu juga membawa 4 orang saksi yang adil. Jika dia gagal membawa 4 orang saksi Islam yang adil maka dia akan dihukum dengan hukum qazab dan persaksiaannya tidak diterima sampai bila-bila . Kerana dia adalah orang yang fasik. Jika di dunia dia terlepas maka di akhirat dia tak akan terlepas menerima hukuman daripada Allah SWT.

Dalam Islam barang-barang seperti cctv, vIDEO, DNA dan gambar tidak boleh dijadikan bahan bukti menggantikan 4 orang saksi yang adil kerana barang-barang tersebut terdedah kepada manipulasi dan pengubahsuaian secara profesional.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yg menuduh wanita-wanita yang baik-baik,yang lengah lagi beriman (berbuat zina),mereka kena laknat didunia dan akhirat,dan bagi mereka azab yang besar.Pada hari (ketika) lidah,tangan,dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".(Surah an-Nuur ayat 23-24).