Selasa, 16 Disember 2014

BAGAIMANA MAHU MENJADI MANUSIA YANG IBAADUR RAHMAN

Antara SIFAT SIFAT IBAADUR RAHMAN (hamba Allah) Yang Di Rahmati Allah Di Dunia Dan Akhirat :
1. Berjalan dimuka bumi dengan rendah hati DAN tidak sombong.
2. Bila disapa atau ditegur oleh orang yang jahil hendaklah dibalas dengan ucapan salam (sejahtera) kepada mereka.
3. Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajud.
4. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam.
5. Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kikir.
6. Tidak mempersekutukan Allah SWT dengan makhluk-Nya iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.
7. Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak.
8. Tidak melakukan perbuatan berzina.
9. Sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
10. Sentiasa mengerjakan amal soleh.
11. Tidak menjadi saksi palsu
12. Bila bertemu orang yang suka membuat perbuatan tidak berfaedah, tidak dilayainya untuk menjaga kehormatan diri.
13. Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu.
14. Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati.
15. Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Berjalan dimuka bumi dengan rendah hati.
Seorang mukmin peribadinya seimbang dengan menundukkan pandangan bila berjalan dan tidak merasa sombong dan bangga diri. Sebagaimana Luqman memberi nasihat kepada anaknya seperti firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 18 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri."
2. Bila disapa oleh orang yang jahil akan dibalas dengan ucapan salam (sejahtera) kepada mereka.
Firman Allah SWT maksudnya, "Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih (Ibadur Rahman) itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan "salam". (Surah al-Furqan (25) ayat 63)
3. Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajud .
Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan sifat orang bertakwa sentiasa melaksanakan solat tahajud , firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)
4. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam.
Sifat orang mukmin ini digambarkan dalam firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 16 yang bermaksud : "(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka".
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bila seseorang selesai membaca tasyahud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)". (Hadis riwayat Muslim)
5. Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kikir.
Firman Allah SWT : “Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Israk ayat 26 – 27)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Tidak mempersekutukan Allah SWT dengan makhluk-Nya iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar". (Surah An-Nisa' ayat 48).
7. Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An- Nisa’ ayat 93)
Dari Ibnu Mas’ud radiallahuanhu dia berkata : Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda : "Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahwa tidak ada Ilah selain Allah dan bahwa saya (Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam) adalah utusan Allah kecuali dengan tiga sebab : Orang tua yang berzina, membunuh orang lain (dengan sengaja), dan meninggalkan agamanya berpisah dari jamaahnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Tidak melakukan perbuatan berzina.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al- Israa’ ayat 32)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)
9. Sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)
10. Sentiasa mengerjakan amal soleh.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)
11. Tidak menjadi saksi palsu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Dipastikan dua kaki dari orang yang bersaksi palsu itu pada hari kiamat nanti akan melangkah ke neraka" ( Hadis Riwayat Ibn Majah dan Hakim)"
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Mahukah ku tunjukan tentang dosa yang paling besar? Iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada orang tua, ingatlah ucapan-ucapan dusta dan ingatlah saksi yang dusta dan Nabi mengulang-ngulangi hingga kami (para sahabat berkata ( dalam hati): ohh, bilakah baginda hendak diam" (Hadis Riwayat Bukhari )
12. Bila bertemu orang yang membuat perbuatan tidak berfaedah tidak dilayainya untuk menjaga kehormatan diri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sebaik-baik Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang bukan kepentingannya." (Hadis Riwayat Tarmizi)
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Jangan banyak bicara selain zikir kepada Allah kerana banyak bicara selain zikrullah menyebabkan hati keras dan sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras." (Hadis Riwayat Tarmizi)
13. Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu.
Allah SWT berfirman: “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para sidiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisa' ayat 69)
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Apabila kamu merasa gembira setelah melakukan kebaikan dan merasa berdukacita setelah melakukan keburukan, maka itu tandanya kamu beriman" (Hadis riwayat Muslim)
14. Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati.
Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta setia kepada suami yang soleh.
Firman Allah SWT maksudnya : “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…”
(Surah An-Nisa’ ayat 34)
Orang mukmin sentiasa berdoa semoga mendapat anak yang soleh sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai Tuhanku , anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh." (Surah Ash-Shaffat ayat 100)
15. Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa.
"Ya Rabb kami, anugrahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."(Surah al-Furqan 25, ayat 74)
Di dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan sifat orang bertakwa dalam firman-Nya bermaksud: "iaitu orang yang berdoa:' Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Iaitu orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfaqkan (ke jalan Allah) dan orang yang memohon keampunan pada waktu sahur '." (Surah Ali Imran, ayat 16-17)

SUAMI BAGI WANITA DI SYURGA ADALAH SUAMI YG TERAKHIR DIDUNIA

1. Hadis pertama : Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, yang manakah lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?”
Rasulullah menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang nampak daripada apa yang tidak nampak.”
Saya bertanya, “kerana apa wanita dunia lebih utama?”
Baginda menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya dibuat dari emas. Mereka berkata, “kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemad lembut dan tidak jahat sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.”
Saya berkata, “Wahai Rasulullah, salah seorang wanita di antara kami pernah bernikah dengan dua, tiga, empat lelaki lalu dia meninggal dunia. Dia masuk syurga dan mereka pun masuk syurga pula. Siapakah di antara lelaki itu yang akan menjadi suaminya di syurga?”
Baginda menjawab, “Wahai Ummu Salamah, wanita itu disuruh memilih, lalu diapun memilih siapa diantara mereka yang akhlaknya paling bagus. Lalu dia berkata, “wahai tuhanku, sesungguhnya lelaki inilah yang paling baik akhlaknya tatkala hidup bersamaku di dunia. Maka nikahkanlah aku dengannya.” Wahai ummu Salamah, akhlak yang baik itu akan pergi membawa dua kebaikan, dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Thabrani, Sulaiman bin Abu karamah menyendiri dalam hadith ini. Abu Hatim menganggapnya dha'if. )
2. Nabi SAW bersabda maksudnya, "Wanita yang suaminya meninggal dan kemudian menikah dengan yang lainnya, maka dia untuk suami yang paling terakhir walaupun sempat menikah berkalikali, berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Wanita itu adalah untuk suami terakhirnya”. (Hadis Sahih Riwayat. Abu ‘Ali Al-Haraani Al-Qusyairi, Abu Syaikh dan Al-Baghawy)
Dan berdasarkan perkataan Hudzaifah ……. kepada isterinya : “Jika engkau tetap ingin menjadi isteriku di syurga maka janganlah menikah dengan siapapun sepeninggalanku, sesungguhnya wanita saat di syurga adalah untuk suami terakhirnya di dunia. Karena itulah Allah .SWT. pun mengharamkan isteri-isteri nabi untuk dinikahi oleh orang lain sepaninggalannya, karena mereka itu kelak akan tetap menjadi isteri-isterinya di syurga.

Dalam kita memilih kedua-dua hadis di atas, hadis yang menyatakan bahawa wanita akan bertemu di syurga dengan suaminya yang paling baik akhlak atau dia menjadi isteri kepada suaminya yang terakhir, maka hadis yang lebih sahih adalah wanita tersebut akan menjadi isteri kepda suaminya yang terakhir . Hadis ini adalah hadis sahih riwayat Abu Ali Al-Haraani Al-Qusyairi.

KELEBIHAN BERSEDEKAH


Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)
  1. Orang yang banyak bersedekah akan dapat membersihkan hatinya daripada sifat bakhil dan mementingkan diri sendiri.
  2. Bersedekah dapat meredakan kemurkaan Allah SWT dan menjauhi su'ul khatimah.
  3. Bersedekah boleh menjauhkan bala dan musibah dengan izin Allah SWT dan merupakan salah satu cara dapat menghapuskankan dosa-dosa yang pernah kita lakukan.
  4. Bersedekah juga sebagai salah satu rawatan dan penyembuhan penyakit yang dihadapi oleh seseorang mukmin.

Isnin, 15 Disember 2014

Kelebihan yang Diperolehi Isteri Atas Amal Suami yg Soleh


Kelebihan para isteri yang solehah yang menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami , menghormati dan mentaati suami, maka pahala suami keluar mencari nafkah, berdakwah di jalan Allah,  menuntut ilmu, solat berjemaah di masjid, suami infak hartanya di jalan Allah maka isteri akan mendapat pahala yang sama. 

Berdasarkan hadis berikut : 

Suatu ketika pada zaman Rasulullah SAW, berlaku kemuskilan di kalangan kaum wanita. Mereka ingin bertanya kepada Rasulullah SAW apakah peranan wanita hanya bertumpu di rumah sebagai ibu dan isteri tidak sebagaimana kaum lelaki. Maka mereka pun meminta Asma' bt Yazid menanyakan hal ini kepada Rasulullah SAW.

"Wahai Rasulullah, saya datang ini sebagai wakil muslimah untuk membawa suara hati kami. Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kamu kepada kaum lelaki dan kaum wanita sekeliannya. Kami percaya kepadamu dan Tuhanmu. Cuma kami ingin penjelasan dari pihakmu apakah peranan kami hanya di rumah melayan suami, mengasuh anak-anak dan melahirkan anak-anak suami sahaja? Sedangkan kaum lelaki pula bidangnya lebih luas, menziarahi orang sakit, menyaksikan jenazah, mengerjakan haji dan berjihad. Kami seringkali ditinggalkan. Kamilah yang menjaga hartanya dan anak-anaknya. Apakah tidak ada peluang bagi kami menyamai pahala mereka?"

Maka Rasulullah berpaling kepada sahabat dan bertanya, "Pernahkah kamu semua mendengar satu persoalan yang baik dan bijak dalam menyelesaikan masaalah agama dari seorang wanita sepertinya?"

"Tidak," jawab sahabat.

"Kami tidak pernah melihat seorang wanita yang begitu berani mengemukakan permasalahan seperti ini wahai Rasulullah.?"

Maka Rasulullah berkata,"Dengarlah Asma' dan sampaikanlah kepada muslimah lain di belakangmu; mentaati suami itu, mengerjakan apa yang disenangi dan menurut kemahuannya, semua itu akan menyamai semua pahala yang diperolehi kaum lelaki."

Asma' pun menyampaikan kepada muslimah yang lain. Mereka melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana ternyata Allah itu Maha Adil, mengangkat darjat wanita dengan menetapkan pahala sesuai dengan kemampuan dan kejadian mereka.

Sabtu, 6 Disember 2014

7 Kalimat Yang Mulia di Sisi Allah Azzajawalla

Kalimat tersebut adalah : 


1. Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu. 

2. Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu. 

3. Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok. 

4. Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok. 

5. Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini. 

6. Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah. 

7. Mengucap 'La ilaha illallah' sebagai zikir setiap hari. untuk menjalin hubungan yang mesra dan kasih sayang dengan Allah SWT 

Huraiannya :

Pertama :Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.Sebelum hendak memulakan sesuatu pekerjaan membacalah Bismallah. Bismallah adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "Bismillahir rohmanirrohim" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu." Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)" (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Mengucap 'Alhamdulillah' (segala pujian bagi Allah) pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

Tanda kita bersyukur kepada segala nikmat yang telah Allah kurniakan hendaklah sentiasa memuji Allah SWT dengan mengucapkan "Alhamdulillah"

Firman Allah SWT maksudnya : "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)" (Surah Al-Baqarah: Ayat 152)

Ketiga : Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.

Nabi Nuh ‘alaihis salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Quran:

فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya : “Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh (71) ayat 10-12)"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).

Istighfar ertinya memohon ampun kepada Allah SWT. Islam mengajarkan kepada umatnya agar memperbanyak istighfar. Rasulallah SAW. sendiri sehari minima 70 kali mengucapkan Istighfar (Hadis Riwayat Bukhari).

Keempat : Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari beberapa orang penduduk Mekah datang berjumpa dengan Nabi SAW untuk bertanyakan mengenai hal roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Dzulkharnain. Nabi SAW. lalu menjawab, "Datanglah pada esok pagi agar aku dapat menjawabnya, " .


Keesokan harinya wahyu tidak turun kepada Nabi SAW. hatta baginda gagal menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan itu. Dan tentu sahaja kegagalan ini menjadi bahan cemuhan orang-orang kafir.Ketika itu turunlah ayat 23 dan 24 dari Surah Al-Kahfi yang menegur perbuatan baginda itu.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' Insya Allah ' . Dan ingatlah kepadaTuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini '. " (Surah Al-Kahfi ayat 23-24)

Kelima : Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

Lahawla wala quwwata illa billah merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah Syurga, ia merupakan penyembuh untuk 99 jenis penyakit, sekurang-kurangnya penyakit dukacita, kesedihan dan kerisauan.

Dalam riwayat yang lain, "Kami bersama Nabi s.a.w. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda mengatakan: 'Wahai manusia kasihilah diri kalian, kerana kalian tidaklah menyeru Dzat yang tuli atau jauh, akan tetapi Ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. 'Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: 'La hawla wala quwwata illa billah.'Lalu baginda mengatakan: 'Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkan La hawlawala quwwata illa billah. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaanyang tersimpan di Syurga.' Atau beliau mengatakan:'Tidakkah kamu mau aku tunjuki salah satu harta kekayaan di Syurga? Lahawla wala quwwatailla billah'." (Hadis Riwayat. Al-Bukhari )

Keenam : Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.

Allah SWT. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Mengucap 'La ilaha illallah sebagai zikir setiap hari. untuk menjalin hubungan yang mesra dan kasih sayang dengan Allah SWT

"Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dari Zaid bin Arqam r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah saw bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Marilah amalkan tujuh kalimat yang menghandungi fadilat dan hikmah yang sungguh besar dan bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat. Setiap kali kita menyebutnya yakinilah kita akan mendapat rahmat dan keampunan dan ada ganjaran yang besar di sediakan oleh Allah SWT tanda kita bersyukur dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

HARI JUMAAT LEPAS WAKTU ASAR? WAKTU MUSTAJAB BERDOA


Dari Jabir bin Abdullah dari Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bahwasanya baginda bersabda, Hari Jumaat terdiri dari dua belas jam. Tidak ada seorang muslim pun yang memohon sesuatu kepada Allah (pada suatu jam tertentu), melainkan Allah akan mengabulkannya. Maka carilah jam terkabulnya doa tersebut pada satu jam terakhir setelah solat Asar! (HR. Abu Daud no. 1048 dan An-Nasai no. 1389, sanadnya baik, dinyatakan shahiholeh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, An-Nawawi, dan Al-Albani, dan dinyatakan hasan oleh Ibnu Hajar al-Aasqalani). - Maksud 12 jam bermula lepas solat Subuh sehingga sebelum masuk waktu Magrib.
Dari Anas bin Malik radhiyallahu anhu dari Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda, Carilah satu jam yang diharapkan pada hari Jumaat pada waktu setelah solat Asar sampai waktu terbenamnya matahari! (HR. Tirmidzi no. 489, di dalamnya terdapat seorang perawi yang lemah bernama Muhammad bin Abi Humaid az-Zuraqi. Namun hadis ini diriwayatkan dari jalur lain oleh Ath-Thabarani dalam Al-Mujam al-Awsath dan dikuatkan oleh hadits Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin Salam di atas)
Imam Said bin Manshur meriwayatkan sebuah riwayat sampai kepada Abu Salamah bin Abdurrahman bahawa sekelompok sahabat Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam berkumpul dan saling berbincang tentang satu jam terkabulnya doa pada hari Jumaat. Mereka kemudian berpisah dan tiada seorang pun di antara mereka yang berbeza pendapat bahawa satu jam tersebut adalah satu jam terakhir pada hari Jumaat.
Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari menyatakan riwayat imam Said bin Manshur ini shahih. Beliau lalu berkata, pendapat ini juga dianggap paling kuat oleh banyak ulama seperti Imam Ahmad bin Hambal dan Ishaq bin Rahawaih, dan dari kalangan mazhab Maliki adalah Imam ath-Tharthusyi.
Imam Al-Allai menceritakan bahawa gurunya, imam Ibnu Zamlikani yang merupakan pemimpin ulama mazhab Syafii pada zamannya memilih pendapat ini dan menyatakannya sebagai pendapat tegas Imam Syafii.
Carilah waktu tersebut, dahulukan solat Asar pada awal waktu seperti yang dituntut , sambil menunggu saatnya WAKTU MUSTAJAB DOA. Wallahu a'lam

7 CHECK POINT Yang Perlu Di Lalui Oleh Setiap Manusia (Islam) Sebelum Memasuki Syurga --- **Titian Sirat**

Tujuh  CHECK POINT  tersebut adalah seperti berikut :

Check Point Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain.

Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah ini terdapat syirik kepada Allah SWT dan telah rosak aqidahnya maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)

Check Point Kedua : Mengenai solat fardu.

Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )

Check Point Ketiga : Mengenai puasa Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Jika puasa Ramadannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.

Check Point Keempat : Mengenai zakat.

Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke sekatan kelima.

Terdapat hadis Nabi SAW yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat. Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)

Check Point Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.

Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Check Point Keenam : Mengenai wuduk dan mandi hadas besar.

Jika diperiksa wuduknya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wuduknya tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.

Check Point Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang dilakukan kepada orang lain).

Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.

Manusia yang dizalimi akan menuntut haknya kepada Allah SWT maka seseorang yang pernah melakukan kezaliman tidak akan mudah melepasi sekatan ketujuh ini walaupun ia terlepas daripada sekatan pertama hingga keenam. Cepat atau lambat meniti sirat juga bergantung kepada cepat atau lambatnya seseorang itu berlumba untuk mencapai keredhaan daripada Allah SWT.

7 Wasiat Rasulullah shallallahu alaihi wasallam


Segala puji hanya milik Allah Swt. yang telah mengirimkan utusan-Nya bernama Muhammad Rasulullah shallallahu alaihi wasallam sebagai suri teladan untuk seluruh umat manusia. Seorang insan yang telah memberikan contoh berperikehidupan mulia bagi seluruh alam.

Saudaraku, melalui ribuan haditsnya, Muhammad Rasulullah shallallahu alaihi wasallam telah mengabadikan wasiat tentang nilai-nilai kebajikan sebagai pedoman hidup bagi umatnya dan juga bagi seluruh manusia. Salah satunya adalah wasiat yang beliau sampaikan kepada salah seorang sahabatnya yaitu Abu Dzar Al Ghifari RA..

Dari Abu Dzar RA., ia berkata: “Kekasihku (Rasulullah) Shallallahu ‘alaihi wa sallam berwasiat kepadaku dengan tujuh hal:
Hadits ini diriwayatkan oleh imam-imam ahli hadits, diantaranya adalah Imam Ahmad, Imam Ath Thabrani, Imam Ibnu Hibban, Imam Abu Nu’aim, dan Imam Al Baihaqi.