Jumaat, 22 Julai 2011

CAKAP PASAL HATI

Hati dalam bahasa Arab adalah Qolb, yang kemudian di-Indonesiakan menjadi kalbu. Ada dua pendapat berkenaan dengan pengertian Qolb. Pertama, Qolb adalah suatu lintasan perasaan pada diri manusia tapi tak berwujud sebuah benda atau anggota tubuh. Ia adalah sesuatu yang abstrak, yang hanya boleh dirasakan oleh tuan empunya hati. Hakikatnya, hanya Allah SWT sahaja yg maha mengetahui apa yg tersurat dan yg tersirat, bahkan pengetahuan Allah tentang hati melebihi diri empunya hati itu sendiri.

Namun demikian, kita semua dituntut untuk menjaga hati serta menguruskannya dgn baik dgn menjauhi sifat2 yg tercela termasuklah menjaga lintasan hati yg tidak baik seperti buruk sangka, prejudis, riyak, dan sebaginya.

Hati ibarat ketua dalam diri manusia. Anggota tubuh adalah pekerjanya. Apabila ketua kuat, pekerjanya juga kuat. Begitu juga apabila ketua positif dan berwawasan, pekerja juga positif dan bergerak merealisasikan wawasan ciptaan ketua.

Hati juga ibarat cermin. Hati yang diurus dengan kebaikan memantulkan kebaikan. Setiap yang melihat pasti merasakan kebaikan dan kesucian hati itu. Kebaikan itu mengalir masuk di celah-celah bongkah kekerasan hati setiap orang di sekelilingnya.

sOALnya, bagaimana hendak menguruskan Hati. Hati yg mcm manakah yg mahu kita cari untuk kita bersihkan,  kita gilap, kita polish, @ kita warnakan? Jawabnya, Hati yg menuruti kehendak syarak dan dapat membentengi dari terdetik utk melakukan perkara yg bercanggah dgn kehendak Islam, dan norma2 kebaikandalam kehidupan.

Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang, kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya.
Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredaan Allah.
Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat.
Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.
Pernahkah anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri sudah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Seorang Arifbillah pernah  menyebut,
“konsep dan praktikal bagi pengurusan hati yang baik tidak datang daripada sumber luaran, tetapi daripada dalam diri sendiri”.

Individu yang mampu menguruskan hatinya dengan baik, hatinya menjelma menjadi pusat segala kebaikan di muka bumi ini.

Hatinya memancarkan cahaya ketenangan dan menyerlahkan ketinggian peribadi & akhlak kepada sesiapa sahaja yang ditemui. Setiap tingkah lakunya teratur dan berhati-hati hasil daripada keyakinan teguh di hati menjadikan dia senantiasa diawasi.
Orang yang memiliki kecantikan dan ketampanan sosial mampu menguruskan hatinya dengan baik. Hati memandu anggotanya bagi menjalinkan perhubungan dengan cemerlang. Dua kunci pengurusan hati adalah

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh :
Al-Imam Al-Ghazali, beliau berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”


Nur ilahi kalau menerangi hati seseorang, maka dadanya menjadi lapang dan banyak sabar. Inilah juga yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT:

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja segala hati menjadi tenang tenteram.”
(al-Ra’d:28)

Dari penjelasan di atas nyatalah bahawa para pendakwah hendaklah mengambil berat tentang pemeliharaan hatinya. Hatinya hendaklah sentiasa dijamu dengan santapan dan bekal ruhani sehingga menjadi rabbani, jernih dan cerah, sentiasa takut kepada Allah dan senantiasa dalam ketenangan.

Manusia unggul yang kita teladani; Muhammad SAW telah mengajar kita cara memelihara hati supaya senantiasa subur dan bersih. Dalam kesempatan ini kita akan huraikan beberapa contoh ajaran dari sunnahnya untuk menjadi pedoman kepada sesiapa yang hendak menurut menjejak langkah orang-orang yang tinggi martabat Ruhaniyyah mereka dan ingin mencapai darjat Rabbaniyyin.

Bagaimana Mahu Menghidupkan hati kita :

1.            Zikrullah

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (Ulul-Albab), (iaitu) mereka yang mengingati “Allah” sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rabbana! (Tuhan kami), tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, lantaran itu peliharalah kami dari ‘Azab nerakaMu!”
(Ali-‘Imran:190-191)

Bacalah al Quran serta perbanyakanlah zikir kerana itulah penawar hati yg keras dan degil. Dengan mengingati Allah hati akan hidup segar dan jernih. Segala karat  dan kekotoran di hati akan hilang dan hati menjadi peka. Tepat seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:
“Tiap sesuatu itu ada penggilapnya. Penggilap hati ialah zikrullah. Tidak ada (perbuatan) yang lebih menyelamatkan seseorang dari ‘azab Allah lain dari zikrullah.” Sahabat bertanya: “Jihad fisabilillah pun tidak boleh (menandinginya).” Jawab Rasulullah SAW: “Walaupun ia terus mencantas musuh dengan pedan sampai patah.” (Hadith riwayat al-Baihaqi)


2.    Muraqabatullah

Setiap jiwa patut kerap bermuraqabah dengan Allah dalam setiap tindak tanduk, urusan, perkataan, ‘amalan, perasaan dan runtunan emosinya. Kesungguhan bermuraqabah dengan Allah boleh menyelamatkan kita dari tergelincir dan menyeleweng. Hatinya sentiasa peka dan menurut kemahuan Allah dan bukan kehendak hati sendiri.
KIta harus tahu bahawa urusan hidup ini terbahagi kepada tiga jenis:

a) Sesuatu yang jelas baik dan wajar, maka hendaklah dituruti.
b) Yang jelas buruk dan merugikan, maka hendaklah dihindari.
c) Suatu yang kabur, maka hendaklah ditanyakan tentang itu kepada orang yang tahu.

Muraqabah dengan Allah akan lebih teguh dan terkesan dengan bertambahnya pendekatan diri kepada Allah dan perasaan bahawa Allah hampir dengan dirinya.
Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.


3.            Mengingati Mati

Antara tanda kebijaksanaan orang Mukmin ialah pandai merancang masa depan.
Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.
Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang?
Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat.
Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai kegiatan rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian.
Sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah lazim menziarah kubur dan mendoakan kaum Muslimin tidak kira siang ataupun malam.
Dengan membaca al-Quran, menunaikan solat dan sentiasa mengingati mati seorang Mukmin melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya.
Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini?
Mungkin hidupnya begitu hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula mungkin lebih terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

4.            Mendirikan  solat

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan; yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak; mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur; berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya dan mahu sentiasa bergembira dan bahagia?
Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk.
Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah daripada pergantungannya itu.
Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah.
Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.”
Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah dengan sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan tidak akan ditolak adalah doa ikhlas dan proses pembersihan dosa dilakukan terus menerus adalah sembahyang.
Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah.
Sembahyang yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya boleh diumpamakan stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.’
Sembahyang adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup mencabar.
Sembahyang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal salih dan membina kehidupan di dunia.
Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah.
Sembahyang juga menjaga seseorang daripada ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

KESIMPULAN;

Sahabat yg dirahmati sekalian, Islam amat menuntut penganutnya agar sentiasa membersihkan hati, menyinari hatinya serta menghidupkan hati... Saya teringst satu sabda Nabi SAW : kata Nabi SAW yg bermaksud :

"Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sahabat sekalian, tiada jalan lain yg boleh kita lakukan melainkan dgn cara kita bertaubat setiap masa setiap ketika, agar titik2 hitam tidak melekat dihati kita. Suka juga sy ingin petik kata2 Al Imam Ata illah as-sakandari, bahawa utk menghidupkan hati adlh dgn menghidupkan Zikrullah dlm diri, zuhud dgn dunia, bergaul dgn org2 soleh.

Kata Arif billah :
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu.""

SEKIAN WASSALAM... semoga bermanfaat utk kita semua...




Tiada ulasan: